Pesta Gendang Nusantara 2024 perkasa budaya serantau menerusi kesenian muzik tradisional
AYER KEROH 3 Januari – Pesta Gendang Nusantara 2024 memperkasakan kebudayaan serantau menerusi kesenian muzik tradisional dengan pendekatan Negeri Melaka sebagai Negeri Berbudaya.
Pesta tersebut akan berlangsung bermula semalam hingga 6 Januari di Dataran Bandaraya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) .
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata penganjuran pesta tersebut bertujuan mengangkat Melaka sebagai sebuah negeri warisan dan berbudaya yang diiktiraf UNESCO serta sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Katanya, pesta tersebut mampu menghidupkan dan menggerakkan kekayaan seni budaya bangsa di Nusantara melalui arena antarabangsa dan serantau.
“Penganjuran ini juga memperkembang dan memperkasakan kebudayaan tradisional Melayu kepada generasi muda sebagai teras Kebudayaan Nusantara melalui penggalakkan proses asimilasi dari persembahan pelbagai rentak dan jenis muzik tradisional serantau.
“Ia juga secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan negara luar dengan Malaysia amnya di Melaka seterusnya menarik lebih ramai pengunjung bagi menepati sasaran TMM2024 antara 15 juta hingga 18 juta kehadiran pelancong,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Shadan berkata Pocket Show Pesta Gendang Nusantara 2024 pula akan diadakan di tiga tempat berlainan termasuk di Mahkota Parade, Melaka Sentral dan Taman Bandaraya Bukit Serindit pada 3 dan 4 Januari ini.
“Pelbagai pengisian Pocket Show Pesta Gendang Nusantara 2024 bermula jam 2.30 petang hingga 4 petang di Mahkota Parade dan Melaka Sentral.
“Manakala di Taman Rekreasi Bukit Serindit pada jam 8.30 malam hingga 10 malam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.