Pesta Deepavali 2022 dari 8 hingga 24 Oktober

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 1 Oktober – ‘Little India’ di Jalan Bendahara, di sini, bakal diterangi cahaya sepanjang dua minggu penganjuran Pesta Deepavali 2022 yang dijadualkan dari 8 hingga 24 Oktober depan.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata, pihaknya menjangkakan lebih 30,000 pengunjung akan singgah sepanjang pesta itu berlangsung.

Menurutnya, lebih istimewa apabila Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dijangka merasmikan pesta itu pada hari sambutan kemuncak dijadualkan 22 Oktober ini.

“Lebih 50 khemah yang membabitkan 25 peniaga akan dibuka di kiri dan kanan laluan sepanjang 85 meter itu bersempena sambutan Deepavali tahun ini.

“Penganjuran ini secara tidak langsung membuka ruang dan membantu peniaga kecil masyarakat India menjana semula pendapatan selepas terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media Pesta Deepavali 2022 di sebuah restoran di Jalan Hang Jebat, di sini, semalam.

exco
EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, V P Shanmugam (duduk, tiga dari kiri) bersama ahli jawatankuasa yang dilantik bagi menjayakan Pesta Deepavali Melaka 2022 di sebuah restoran di Lorong Hang Jebat, Melaka. Foto: MR. AZLI

Shamugam berkata, gerai berkenaan menawarkan pelbagai jenis barangan termasuk untuk upacara keagamaan, pakaian dan juga makanan.

Jelasnya, mengikut perancangan pentas utama akan ditempatkan di Padang Nyiru, Banda Hilir bagi menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung menikmati persembahan yang disediakan.

“Pelbagai aktiviti melibatkan belia, keagamaan dan bermacam lagi yang menarik akan dilaksanakan sepanjang dua minggu pesta tersebut.

“Menerusi pesta ini juga kita bawakan artis-artis tamil dalam negara yang terkenal dan menyerupai artis Bollywood selain penari-penari bagi memeriahkan lagi pesta tersebut,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4805
Kongsi :
Previous post Laman Variasi ‘lubuk’ seni keris Melayu
Next post Penarafan keselamatan udara Malaysia dikembalikan kepada kategori 1
Ubah saiz-+=