Pesta buku perkukuh budaya membaca Keluarga Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Kerajaan akan terus menyokong penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) serta pesta-pesta buku dan aktiviti penerbitan buku sebagai perusahaan pendidikan dan budaya, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata program seumpama itu akan memperkukuhan budaya membaca dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Justeru, katanya Kementerian Pendidikan melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan agensi berkaitan hendaklah melaksanakan usaha lebih giat bagi memajukan industri penerbitan buku tempatan dan menggalakkan aktiviti berkaitan dengannya.

“Saya turut menyeru seluruh Keluarga Malaysia agar menerapkan budaya membaca, bagi melahirkan masyarakat yang bertamadun, berilmu pengetahuan dan berkeperibadian unggul.

PBAKL adalah pesta buku terbesar negara yang mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan industri buku dan memupuk budaya membaca serta mewujudkan masyarakat celik ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian PBAKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini malam ini (tadi).

Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Perdana Menteri berkata bangsa yang berjaya adalah mereka yang membaca dan dalam usaha memandaikan bangsa, budaya membaca harus dipupuk secara berterusan.

“Pembangunan sesebuah negara turut bergantung kepada rakyatnya yang berpengetahuan, berfikiran positif, rajin dan berdaya saing. Ilmu pengetahuan dapat diperoleh melalui amalan membaca,” katanya.

Beliau turut menyeru agar pengarang, penerbit dan semua pihak berkepentingan dalam industri buku  memainkan peranan masing-masing bagi menghasilkan buku yang berkualiti dan seterusnya  memperkasakan industri itu.

Katanya usaha itu dapat menyokong pertumbuhan dan memupuk kelangsungan pembinaan negara bangsa melalui budaya membaca.

“Kegagalan kita mengekalkan budaya membaca bukan hanya menjejas dan menghancurkan usaha kerajaan membina sebuah negara bangsa yang berjaya, tetapi juga ‘membunuh’ bukan hanya industri buku tetapi juga karyawan-karyawannya,” katanya.

PBAKL 2022 berlangsung sehingga 12 Jun sejak semalam, menempatkan lebih 700 gerai membabitkan hampir 200 penerbit tempatan dan antarabangsa.

PBAKL kali ke-39 itu adalah anjuran MBKM di bawah Kementerian Pendidikan dengan kerjasama persatuan industri buku Malaysia.

-BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1362
Kongsi :
Previous post Gempa bumi kuat landa Kepulauan Tonga
Next post Wanita antara tiga ditahan curi komponen kereta
Ubah saiz-+=