Pesta Buku Melaka tawar pelbagai buku mampu milik
BANDARAYA MELAKA 27 September – Pencinta buku boleh mendapatkan buku-buku pelbagai genre dan jenis dengan harga mampu milik di Pesta Buku Melaka 2022 yang diadakan di The Shore Melaka.
Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) Rosli Abdullah berkata, penganjuran Pesta Buku Melaka 2022 itu merupakan usaha untuk merancakkan lagi industri buku negara dengan memasarkan buku-buku secara terbuka dengan harga berpatutan.
Katanya, pesta buku tersebut merupakan salah satu program tahunan Perpustam dalam usaha menggalakkan budaya membaca kepada setiap lapisan masyarakat.
“Pesta Buku Melaka menjadi satu wadah dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan ilmu pengetahuan di samping memudahkan pencinta buku mendapatkan bahan bacaan uang dipasarkan dekat dengan mereka.
“Melalui pesta buku ini juga ia akan memberi manfaat kepada semua golongan khususnya para pelajar dengan menyertai program pembacaan dan keilmuan yang diisi sepanjang berlangsungnya pesta buku ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Pesta Buku Melaka 2022 di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Khaidirah Abu Zahar dan Pengarah Perpustam Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris.
Mengulas lanjut, Rosli berkata penganjuran Pesta Buku Melaka 2022 bersama Syarikat Rabat Lit memberikan satu nilai tambah dalam penganjuran kali ini.
Jelasnya, dengan penyertaan lebih 30 penerbit buku, pelbagai pengisian dapat diterapkan dan pihaknya turut berharap untuk warga Melaka dapat berkunjung ke Pesta Buku Melaka yang akan berlangsung dari 27 September hingga 2 Oktober ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.