PESERTA USIA 40 TAHUN KE ATAS DALAMI ILMU AL-QURAN
BANDARAYA MELAKA 25 Januari – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memberi peluang kepada seramai 215 peserta berusia 40 tahun ke atas menghayati keindahan ayat-ayat suci al-Quran.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program Hafazan Dewasa atau Haflah Qurra’ Negeri Melaka Tahun Ke-9 2025 yang mendapat sambutan menggalakkan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata lebih membanggakan apabila para peserta dewasa itu berjaya menamatkan modul tertinggi dalam program kali ini.
“Peserta telah menghafaz surah Al-Baqarah dan pencapaian ini bukanlah sesuatu yang mudah, ia seharusnya dijadikan sumber inspirasi buat kita semua.
“Kali ini kita menyampaikan anugerah kepada pemenang mengikut juzuk al-Quran dan penyertaan adalah daripada seluruh negeri Melaka.
“Ini adalah tahun kesembilan kita mengadakan program ini yang mana kita memberi peluang kepada orang ramai untuk membuat hafazan al-Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Haflah Qurra’ Negeri Melaka Tahun Ke-9 2025 mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Auditorium Masjid Al-Azim di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata program tersebut akan diteruskan pada setiap tahun dengan sasaran lebih ramai penyertaan masyarakat.
“Alhamdulillah, program ini akan diteruskan pada setiap tahun dan kita harap juga akan ada penambahan peserta pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.