Peserta teruja ikuti kursus keusahawan
AYER KEROH 19 Feb. – Rata-rata peserta memuji dan menyifatkan Kursus Keusahawanan Atas Talian dan Kursus Keusahawanan Digital yang diadakan selama dua hari bermula semalam, amat bermanfaat untuk mereka menceburi bidang perniagaan atas talian.
Peserta, Muhammad Faiz Zikri Mosdi, 23, berkata kursus anjuran Inisiatif Institut Tun Perak (IPT) itu berjaya membuka mindanya mengenai pelbagai peluang baru perniagaan atas talian yang boleh diterokai.
Katanya, melalui kursus itu juga peserta turut diberi pendedahan dan tips berguna termasuk kaedah terbaik bagi mempromosi produk mereka dengan lebih berkesan dan meluas.
“Kita bukan hanya belajar dari segi praktikal, malah diberi pendedahan mengenai bahan yang boleh membantu dalam pemasaran.
“Selain teori, kita dapat bantu antara satu sama lain untuk memperluaskan perniagaan,” katanya yang berminat menjadi usahawan sejak usia 15 tahun.
Katanya, inisiatif itu sekali gus membantu usahawan di Melaka untuk terus kekal bertahan dan berdaya saing sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
“Insya-Allah akan datang kita boleh menembusi ke pasaran lebih luas hingga ke antarabangsa,” katanya lagi.
Maznah khazali, 41, pula berkata, penyertaan dalam kursus itu memberi impak kepada semua peserta mempelajari ilmu digital.
“Alhamdulillah dapatlah sedikit ilmu untuk berniaga selepas ini sama ada secara dalam talian atau membuka kedai.
“Namun, setakat ini saya belum ada apa-apa perniagaan, mungkin selepas ini saya cuba bidang ini pula.
“Hari ini saya dapat belajar cara bagaimana hendak mengambil gambar produk dan sebagai agar nampak menarik dan ayat-ayat yang sesuai untuk Facebook atau Instagram bagi menarik pelanggan,” katanya.
Katanya, dia pernah terfikir untuk membuat perniagaan kain batik dari Langkawi secara atas talian.
“Saya ada terfikir untuk berniaga, cuma bukanlah dalam masa terdekat ni kerana perlu membuat persediaan rapi,” katanya kepada MHI.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.