PESERTA LESTARI RUN MACHAP JAYA SEDIA ‘TAWAN’ TREK BERBUKIT
MACHAP JAYA 4 Februari – Lebih 500 peserta sekitar Melaka dan luar negeri ini menyahut cabaran untuk ‘menawan’ laluan berbukit pada Lestari Run Machap Jaya 2025 dijadualkan di Felda Hutan Percha, 23 Februari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, mereka yang mahu mencabar dan menguji kemampuan diri boleh hadir dan mendaftar pada hari berlangsungnya larian berkenaan.
“Saya mempelawa kepada mereka yang meminati sukan lasak untuk bersama-sama hadir dan mengambil bahagian, kami menyasarkan jumlah penyertaan akan meningkat antara 1,000 hingga 1,500 orang.
“Berbaki 20 hari sahaja lagi atau dua minggu sebelum larian bermula kami percaya jumlah penyertaan akan meningkat dari semasa ke semasa masih ada masa untuk daftar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, larian menerusi trek sejauh 5.6 kilometer (km) yang merentasi Jalan Pintas Tebong hingga ke Felda Hutan Percha, Alor Gajah pastinya akan memberikan satu pengalaman baharu buat peserta.
“Trek berbukit akan menguji stamina, kemampuan mental dan fizikal peserta, namun keindahan pemandangan yang menghijau menjadi motivasi untuk mereka tamatkan larian. Ini secara tidak langsung akan membantu mempromosikan Machap Jaya apabila foto-foto menarik dikongsikan peserta di media sosial,” katanya.
Menurutnya, bersempena Lestari Run Machap Jaya 2025 pihaknya turut menganjurkan Jualan Rahmah di tapak berhampiran garisan penamat larian., selain itu peserta juga berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah cabutan bertuah seperti skuter elektrik dan barangan elektrik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.