Sorting by

×

Pesawah, petani terkesan banjir disaran tampil ke depan- Norhizam

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

PENGKALAN BATU 20 Mei. – Kerajaan negeri memohon petani, pesawah dan penternak yang terkesan banjir tampil memberikan butiran lengkap permasalahan dan jumlah kerugian dialami.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, setakat ini pihaknya belum menerima data lengkap berhubung perkara itu kerana tiada laporan dibuat.

Jelasnya, laporan dan data lengkap itu sangat penting untuk pihaknya memohon bantuan khas daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk disalurkan kepada mereka yang terjejas.

“Saya difahamkan, bencana banjir kali ini paling banyak memberi kesan kepada pesawah. Namun, ada juga dalam kalangan petani dan penternak ikan mengalami nasib yang sama apabila semua yang diusahakan mereka terjejas akibat banjir yang melanda negeri ini.

“Jadi, kita mohon sangat kepada golongan yang terkesan untuk tampil ke depan. Kita minta mereka untuk buat laporan polis dan berikan segala data serta gambar kepada saya.

“Dengan cara itu, saya boleh menyalurkan maklumat berkenaan kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah untuk memohon bantuan khas yang boleh disalurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui menyertai program pembersihan pasca banjir yang dikelolakan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya di Kampung Pulau Nibong, di sini, yang menjadi antara kawasan paling teruk terjejas banjir.

Dalam program itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berbentuk peralatan untuk membantu penduduk membersihkan rumah kediaman masing-masing bagi mengelakkan berlakunya sebarang wabak penyakit yang lain.

Norhizam memaklumkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu sahaja, lebih 200 kediaman terlibat dengan musibah banjir yang berlaku berikutan hujan lebat berterusan dan fenomena air pasang besar yang berlaku serentak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

388
Kongsi :
Previous post Reda pemergian menantu baik
Next post MPHTJ peruntuk RM900,000 atasi banjir
Ubah saiz-+=