Pesawah belanja RM5,000 kos pembaikan tebing sungai elak banjir
AYER LIMAU 24 Jan – Seorang pesawah mengeluarkan kos RM5,000 untuk menjalankan kerja pembaikan pada tebing yang runtuh bagi mengelakkan kejadian air sungai berhampiran melimpah masuk ke kawasan sawah diusahakannya.
Abdul Aziz Abdullah, 47, tidak mahu mengambil risiko dan kerugian besar seperti dialami akibat banjir melanda kawasan itu 18 pada pertengahan bulan lalu.
Usahawan tani berasal dari Sekinchan, Selangor itu berkata, dalam kejadian 18 Disember lalu banjir besar memusnahkan 50 peratus daripada keseluruhan sawahnya yang seluas 68 hektar.
“Kerja membaiki tebing sungai dimulakan sejak seminggu lalu, saya tak mahu tunggu lama. Jadi saya upah pemilik jentera pengorek untuk memasakkan kayu di tebing sungai yang runtuh.
“Arus sungai yang terlalu deras menyebabkan tebing sungai runtuh dan mengalir masuk ke sawah menyebabkan padi dikawasan seluas 32 hektar terendam,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Siput, Lubok Cina.
Dia bersyukur kerana 36 hektar sawah dengan hasil sebanyak 151 tan sudah ditaui tiga hari sebelum kejadian banjir berlaku.
Katanya, petak sawah yang terendam hanya mengeluarkan hasil 60 tan berbanding sasaran awalnya iaitu sebanyak 160 tan jika tidak berlaku bencana banjir.
Selain membaiki tebing sungai Abdul, Aziz turut menanggung sendiri kos untuk membina semula batas sawah yang musnah akibat bencana alam itu.
“Sawah diusahakan dipajak daripada pemilik asal lima tahun lalu dan ini kali pertama kejadian banjir besar berlaku. Bagi mengelakkan kejadian sama berulang saya harap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meneliti sistem pengairan sawah di kawasan berkenaan bagi mengurangkan risiko sawah musnah akibat banjir,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.