Pesara rugi RM50,000 diperdaya ‘Datuk Reduan’
TELUK INTAN, 9 Mac – Seorang pesara kerugian lebih RM50,000 akibat diperdaya sindiket penipuan dalam talian Macau Scam sewaktu berada di rumahnya di sini, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata pada awalnya, lelaki berusia 61 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan dirinya daripada pihak Telekom Malaysia dan memberitahu mangsa mempunyai tunggakan bil telefon.
“Pesara itu menafikan dan mendakwa mungkin ada orang lain yang menyalahgunakan namanya, sebelum panggilan itu kemudian dipindahkan kepada individu yang mendakwa dirinya sebagai ‘sarjan’ di Seremban, Negeri Sembilan.
“Suspek mendakwa kononnya telah melakukan semakan dalam sistem yang mendapati pesara itu terlibat dalam kes penggubahan wang haram. ‘Sarjan’ tersebut menyatakan dia tidak dapat membantu mangsa dan menyambungkan panggilan kepada ‘pegawai’ di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang menyamar sebagai ‘Datuk Reduan’,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebaik kononnya disambungkan dengan ‘Datuk Reduan’ itu, pesara tersebut telah diminta mengeluarkan wangnya malah turut menyerahkan maklumat perbankan akaun isterinya bagi menyelesaikan masalah dihadapi termasuk untuk semakan Bank Negara Malaysia (BNM).
“‘Datuk Reduan’ mendakwa ingin membantu dan meminta maklumat akaun mangsa serta isteri untuk pindahkan wang dalam akaun pengadu ke akaun lain bagi tujuan semakan BNM. Suspek kemudian telah mengambil alih akaun pesara itu dengan memindahkan wang mangsa dan isteri kira-kira RM57,200 ke akaun pihak ketiga yang belum dikenal pasti,” katanya.
Ahmad Adnan berkata pesara tersebut yang menyedari ditipu kemudiannya membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai jangan mudah percaya dengan tindakan licik sindiket Macau Scam ini dengan mendedahkan maklumat perbankan mereka kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.