Pesara PBT rugi RM682,000 ditipu Macau Scam
KEPALA BATAS 3 Jun – Seorang pesara pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini kerugian RM682,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam, yang mendakwa terdapat pendaftaran talian judi dalam talian haram atas nama wanita itu, dalam kejadian baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 69 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu hari ini, selepas mendapati wang dalam akaun miliknya telah berkurangan sebanyak RM682,000, berikutan mengikut arahan individu kononnya pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM), yang cuba membantu menyelesaikan kes warga emas tersebut.
“Menurut mangsa, dia pada mulanya menerima panggilan pada awal Mac lalu dari seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis berpangkat ACP, daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, dan memaklumkan wanita tersebut telah terlibat dalam jenayah, kerana terdapat pendaftaran talian judi dalam talian haram atas namanya.
“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada pegawai penyiasat kes berpangkat Sarjan, sebelum polis berkenaan memaklumkan butiran mangsa dalam siasatan lanjut dan memintanya berurusan dengan pegawai dari BNM yang akan hubungi mangsa dalam masa terdekat, bagi memberi penjelasan serta bantuan,” katanya dalam kenyataan, di sini malam tadi.
Katanya, wanita itu memaklumkan dia kemudiannya dihubungi seorang lelaki yang mendakwa pegawai dari BNM, dan meminta mangsa memindahkan semua wang simpanannya ke dalam satu akaun sahaja milik pesara tersebut, dengan alasan bagi memudahkan urusan siasatan akaun serta kesnya.
Noorzainy berkata, lelaki itu turut memberitahu wanita tersebut yang kes berkenaan perlu diselesaikan segera dan mengugut mangsa sekiranya tidak berbuat demikian, beliau akan ditangkap serta direman untuk siasatan kes itu.
Berikutan takut ditangkap, wanita itu mengikut arahan suspek termasuk memberi laporan pergerakannya setiap hari menerusi panggilan diterima mangsa, serta memberikan nombor TAC yang dihantar ke telefon bimbitnya kepada sindiket tersebut yang berlarutan hingga 27 Mei lepas, katanya.
“Mangsa kemudiannya berasa pelik kerana sejak 28 Mei hingga semalam, tiada panggilan diterima dari pegawai BNM seperti kebiasaan, sebelum dia menghubungi pihak bank untuk bertanyakan baki wang dalam akaunnya dan dimaklumkan telah dipindahkan ke akaun lain setiap hari sedikit demi sedikit,” katanya.
Menurutnya, mangsa cuba menghubungi lelaki itu namun tidak dapat, malah nombor tersebut juga tidak boleh dihubungi, sebelum wanita itu membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan hari ini.
Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan sindiket tersebut, termasuk pemilik akaun yang digunakan suspek, untuk memindahkan wang dari akaun mangsa dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Pihak polis menasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket, dan jangan sesekali mudah panik dengan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat, untuk sebarang pengesahan,” katanya.
— BERNAMA