Pesara guru rugi RM1.8 juta ditipu Macau Scam
SEREMBAN 24 Dis – Seorang pesara guru wanita berputih mata selepas kerugian lebih RM1.8 juta akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata kejadian bermula pada 28 Okt lepas, sebaik pesara berusia 66 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai anggota polis.
“Lelaki itu membuat panggilan memperkenalkan diri sebagai Sarjan Albert Lai dari IPK Pahang dan memberitahu pengadu terlibat dengan kes penipuan dan pengubahan wang haram.
“Pengadu sekali lagi dihubungi pada 31 Okt oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya Inspektor Yong dari Bukit Aman, yang meminta butiran akaun simpanan milik pengadu dan mengarahkannya mengeluarkan semua wang ke dalam akaun yang diberikan untuk tujuan siasatan, serta memintanya tidak memaklumkan kepada ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aibee berkata mangsa yang ketakutan telah bertindak memindahkan wang simpanannya secara berperingkat sebanyak RM1,824,714.83 ke dalam beberapa akaun bank berlainan yang diberikan suspek.
“Pengadu hanya menyedari dia ditipu selepas diberitahu oleh anak lelakinya sebaik dia menceritakan mengenai kejadian berkenaan dan tampil membuat laporan polis, semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA.