![Whatsapp Image 2025 02 13 At 15.14.22](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-13-at-15.14.22.jpeg?v=1739431062)
PESAN YB PENUH MAKNA UNTUK ANAK-ANAK
PENGKALAN BATU 13 Januari – “Meskipun YB (Yang Berhormat) singgah sebentar sahaja, namun ia amat bermakna bukan sahaja buat saya tetapi juga anak-anak,” kata Siti Rohani Jantan, 42.
Kediaman Siti Rohani, antara enam buah rumah menjadi persinggahan konvoi Program Ziarah Kasih Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, hari ini.
Kunjungan itu disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri serta Exco Pendidikan, Pengajian tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Berkongsi perasaan terujanya, ibu kepada lima anak itu berkata, program sedemikian menunjukkan keprihatinan pemimpin yang bukan sahaja dilihat cakna sebaliknya turun padang untuk merasai denyut nadi rakyat.
“Apabila ada kunjungan sebegini terasa ada pihak yang ambil berat dan cakna hal kebajikan rakyat. Jauh di sudut hati, saya amat terharu kerana pemimpin masyarakat boleh luangkan masa mereka untuk datang ke rumah dan bertanya khabar kami anak beranak.
“Pesanan daripada Datuk Rahmad menjadi pembakar semangat buat lima anak saya untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik, terutama yang masih bersekolah setakat ini hanya anak sulung yang baru habis belajar selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pengkalan Batu, hari ini.
Menurutnya, sejak pemergian suaminya empat tahun lalu dia menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga, menjadi tempat bermanja dan rujukan permasalahan anak-anaknya.
“Sekarang saya menjadi tempat anak-anak bergantung harap dan berkongsi cerita, bagi saya nasihat daripada Datuk Rahmad ibarat pesanan seorang ayah untuk anak-anak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.