Pesan terakhir jaga anak-anak
UJONG PASIR 14 Mei – “Apa-apa berlaku tolong tengok anak-anak,” itu antara pesanan terakhir bekas Pengarang Melaka Hari Ini (MHI), Allahyarham Mohd Jeffri Razali kepada isterinya sebelum menghembuskan nafas terakhir Selasa lalu akibat serangan jantung.
Umirah Fuziah Atan, 51 berkata kali terakhir dia bertemu Allahyarham pada Isnin dan ketika itu suaminya boleh bercakap namun pertuturannya tidak jelas disebabkan serangan strok dialaminya.
Katanya, meskipun begitu dia masih memahami setiap tutur kata arwah malah sempat berpesan supaya menjaga diri dan anak-anak.
“Saya janji padanya Insha-Allah saya akan tengok anak-anak dan dia juga pesan supaya saya menjaga diri sebaiknya,” katanya sebak di kediamannya di Padang Temu di sini hari ini.
Terdahulu, Umirah Fuziah dikunjungi Ketua Pegawai Operasi MHI, Anuar Shaari yang mewakili agensi itu untuk memberikan sumbangan bagi meringankan beban mereka empat beranak.
Dia berkata, selepas pemergian suami, dia yang bekerja dalam sektor insurans akan meneruskan kehidupan seperti biasa meskipun tanggungjawab digalas lebih berat untuk menjadi ibu dan ayah kepada tiga cahaya matanya berusia antara sembilan hingga 26 tahun.
“Saya akan uruskan semua perkara berkaitan arwan dan kemudian memastikan anak-anak meneruskan pengajian dalam keadaan bersendirian.
“Terima kasih kepada semua pihak termasuk keluarga, rakan-rakan arwah yang membantu dan saya tidak sangka ramai yang menghulurkan bantuan, hanya Allah dapat membalas semua kebaikan itu,” katanya.
Allahyarham berusia 54 tahun Umirah Fuziah dan tiga anak Muhammad Amirul Amsyar, 26; Nur amira Najwa, 23 dan Nur Amira Dhamia, 9.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat lebih 27 tahun sebagai pengamal media di negara ini dan pernah menjadi wartawan serta Ketua Biro New Straits Time (NST) pada 1991 hingga 2003, sebelum dilantik sebagai Pengarang di Melaka Hari Ini bermula 2005 hingga 2007.
Di akhir kerjayanya, Allahyarham berkhidmat sebagai Ketua Wartawan Sinar Harian Melaka dan Negeri Sembilan sebelum berhenti pada 2018 atas faktor kesihatan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.