Sorting by

×

Pesakit COVID-19 di PKRC MITC dijangka meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 27 Mei – Jumlah pesakit COVID-19 tahap 1 dan 2 yang dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) semakin bertambah saban hari dan dijangka boleh melepasi angka 1,000 orang pada minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat Rabu, seramai 593 orang ditempatkan di PKRC berkenaan.

Jelasnya, jumlah itu bagaimanapun akan bertambah berikutan terdapat 328 pesakit positif COVID-19 masih menunggu penempatan.

“Setakat Rabu kita sudah ada hampir 600 pesakit di PKRC MITC, namun di sebelah petang masih ada 328 lagi menunggu penempatan.

“Kebiasaannya separuh daripada jumlah yang menunggu penempatan itu akan dimasukkan ke PKRC MITC, namun semuanya bergantung kepada penilaian Pusat Penilaian COVID-19 (CAC),” katanya.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, kapasiti katil rawatan pesakit COVID-19 di Hospital Melaka juga kian meningkat apabila lebih 50 peratus atau 271 daripadanya telah diisi dengan pesakit.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat 251 katil yang boleh menempatkan pesakit COVID-19 sekiranya berlaku peningkatan.

Dalam perkembangan lain, Rahmad menepis dakwaan terdapat 10 kilang telah ditutup di negeri ini disebabkan jangkitan COVID-19.

Beliau berkata, pihaknya belum menerima maklumat berhubung perkara itu dan akan memaklumkan perkembangan berkaitan dari semasa ke semasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2653
Kongsi :
Previous post PKP 3.0: Kompaun hingga RM10,000 jika berada lebih 2 jam di premis perniagaan
Next post Duo Brazil ‘senjata’ baharu Zainal
Ubah saiz-+=