Pesakit buah pinggang terpaksa jalani dialisis dalam banjir
Rembia 12 Ogos – Seorang pesakit buah pinggang terpaksa meneruskan rawatan dialisis meskipun kediamannya di Taman Seri Bayu 2, Alor Gajah, di sini, dinaiki air akibat banjir melanda penempatan itu petang semalam.
Ibu pesakit terbabit Junaidah Othman, 59, berkata, ketika kejadian dia berada di kampung halamannya di Bertam Hulu dan hanya mengetahui kawasan itu dilanda banjir selepas dihubungi anaknya menggunakan panggilan video.
Junaidah berkata, lebih mencemaskan apabila dia dimaklumkan air yang pada mulanya berada pada paras lantai rumah mula naik dengan mendadak.
“Saya amat risau kerana ketika itu anak sulung sedang menjalani rawatan dialisis dan mesin digunakan tidak boleh dihentikan begitu sahaja, dia perlu menjalani proses itu setiap empat jam sekali.
“Kemudian saya bergegas pulang ke rumah, anak bongsu pula memindahkan barangan penting terutama peralatan rawatan dialisus abangnya ke tempat tinggi,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Ar-Rasyidin, hari ini.
Akibat tidak mempunyai pilihan lain, anaknya terpaksa menerusi rawatan dialisis dalam keadaan kakinya terendam dalam air banjir.
“Keadaan itu tidak bagus untuk anak, akibatnya kaki dia bengkak. Sekarang kami terpaksa duduk di PPS, anak terpaksa jalani rawatan dialisis seperti biasa, namun saya khuatir akan menjejaskan kesihatannya berikutan faktor kebersihan.
“Namun atas ihsan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, anak dipindahkan ke sebuah hotel terletak berhampiran.
“Alhamdulillah saya berasa amat lega, bersyukur dengan ihsan dan keprihatinan ditunjukkan, harapan saya adalah keadaan anak selesa dan kesihatannya stabil,” katanya.
Terdahulu Junaidah serta 160 lagi mangsa di PPS Masjid Ar-Rasyidin, menerima kunjungan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan kepada mereka.
Pada lawatan itu Tun Dr. Mohd Ali turut diiringi Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Fairul Nizam yang juga Penyelaras Dewan Udangan Negeri (DUN) Rembia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.