Sorting by

×

Perzim, UTHM meterai MoA pulihara seni bina warisan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 30 Sept. – Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dalam usaha memastikan seni bina warisan Melaka terpelihara.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kerjasama kedua belah pihak itu telahpun dirancang sejak tiga tahu lalu untuk memfokuskan kepada pemuliharaan dan penjagaan warisan yang ada di negeri ini.

“Perancangan ini telahpun dimulakan sejak tiga tahun dulu dan akhirnya beberapa pendekatan telah diambil bagi memastikan MoA pada pagi ini dapat direalisasikan.

“Antara fokus utama adalah pembangunan garis panduan pemeriksaan dan penilaian kerosakan bangunan warisan, Kajian Kualiti Udara Dalaman (IAQ) di bangunan warisan yang memfokuskan kepada kelembapan relatif dan bahan akibat penggunaan pendingin hawa.

“(Selain itu) kajian daya tahan Bangunan Studthuys yang fokus kepada cadangan kerja penyelamatan dan tatacara pemuliharaan membuat perancangan dan pelaksanaan semua projek penyelidikan dan lain-lain.

“Bangunan warisan di Melaka ini dibina ratusan tahun, jadi mesti dititikberatkan dengan kajian untuk memelihara semua bangunan-bangunan warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MOA antara Perzim dan UTHM di Seri Negeri di sini, hari ini.

Jelasnya, Melaka mempunyai keluasan sebanyak 30 ekar (12.14 hektar) ‘core area’ yang di dalamnya terdapat peninggalan warisan sedia ada.

“Jadi inilah tugas Perzim dan UTHM untuk memelihara warisan sejarah yang ada di Melaka, jadi kerjasama ini saya harap dapat menghasilkan lagi penemuan-penemuan baharu warisan bagi Negeri Melaka,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts. Kamel Mohamed; Exco Pelancongan merangkap Pengerusi Lembaga Perzim, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Naib Cancelor UTHM, Prof Datuk Ts Dr. Wahid Razzaly.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

666
Kongsi :
Previous post MAQIS rampas daging lembu wagyu dari Australia tiada permit import
Next post Melaka belum buka pintu untuk pelancong luar – KM
Ubah saiz-+=