Perzim teruskan kajian Makam Tok Langgar
BANDA HILIR 21 Oktober – Biarpun dijangka akan mengambil tempoh yang agak lama namun kajian untuk mengenal pasti lokasi sebenar Makam Tok Langgar akan diteruskan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).
Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim Datuk Zaidi Attan berkata, kajian itu akan dilakukan oleh pegawai Perzim dengan mengambil kira beberapa aspek termasuk jangka masa kehidupan Tok Langgar atau nama sebenarnya Raja Mohamad Said dan juga maklumat daripada ahli keluarga terdekatnya.
“Meskipun dapatan awal daripada batu nisan sudah menunjukkan tarikh hayatnya yang boleh dikaitkan dengan lokasi kematiannya, namun kajian perlu dilakukan bagi mendapatkan kesahihan sebelum boleh dipastikan makam sebenar beliau.
“Ini kerana sejarah atau penemuan bukan boleh cakap begitu sahaja atau dibuat andaian tetapi sejarah ini perlu dibuktikan melalui kajian disebabkan ia perlu diwariskan dari generasi ke generasi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Zaidi, meskipun difahamkan lokasi sebenar Makam Tok Langgar ditafsir berada di Sungai Rambai berdasarkan penilaian pada batu nisan dari abad ke 18 hingga 19, namun dapatan sebenar perlu diperoleh.
“Proses kajian ini baru dimulakan dan Perzim akan meletakkan fakta-fakta sejarah itu melalui dokumen sokongan kepada pembuktian dalam menentukan mana satu Makam Tok Langgar yang sebenarnya selain turut menunggu hasil kajian yang dijalankan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.