
Perzim tampil kelainan Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Ogos
BANDA HILIR 15 Julai – Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) akan melihat kesesuaian membuka lebih banyak muzium pada siri Program Melaka Bila Larut Malam edisi Ogos depan.
Pengurus Besar Perzim, Erne Hamsah berkata perkara itu akan dibincangkan lanjut kerana pihaknya menerima beberapa cadangan untuk membuka lebih banyak muzium pada program sebulan sekali itu.
Katanya, bertepatan dengan tema pada Ogos iaitu Bulan Kebangsaan, sudah pasti Perzim akan mengambil kesempatan untuk menggamit lebih ramai pengunjung ke muzium.
“Siri Ogos, iaitu Bulan Kemerdekaan Perzim akan tampil dengan beberapa kelainan daripada segi pelaksanaan program.
“Bagaimanapun, setakat ini kita (PERZIM) masih kekalkan lima muzium, tapi Insya-Allah, kita akan adakan perbincangan lanjut dan penelitian untuk lihat kesesuaian bagi menambah muzium yang boleh dibuka. Demi untuk menyahut Program Melaka Bila Larut Malam dan bersempena Bulan Kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Silat Berani Laksana Jebat di hadapan Muzium Rakyat di sini, pada Sabtu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.