Perzim semak semula semua maklumat muzium, elak kekeliruan

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 18 Julai – Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) mengambil serius isu berkenaan kesilapan dan kekeliruan fakta yang terdapat di Muzium Sejarah Melaka.

Menerusi kenyataan media Pengurusan Perzim, pihaknya sangat menghargai keprihatinan dan dedikasi masyarakat dalam memastikan ketepatan serta kualiti bahan dipamerkan di muzium.

“Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan komen dan maklum balas berkenaan kesilapan atau kekeliruan fakta di Muzium Sejarah Melaka.

“Kami ingin memaklumkan bahawa pihak Perzim mengambil serius isu ini dan sedang menjalankan proses menyemak semula semua kesilapan dibangkitkan.

“Bagi memastikan ketepatan fakta dipamerkan, pakar rujuk yang berkelayakan dan berpengalaman dalam bidang sejarah juga akan dilantik untuk membuat semakan semula selain penambahbaikan yang perlu,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, proses semakan adalah sebahagian daripada komitmen Perzim untuk memastikan setiap maklumat disampaikan kepada pengunjung tepat, sahih dan dipercayai.

“Berikutan itu kami akan terus meningkatkan mutu pameran agar ia dapat memberikan pembelajaran terbaik kepada semua pengunjung. Malah kami juga akan menjalankan semakan kepada paparan maklumat di premis-premis lain di bawah pengawasan dan tanggungjawab Perzim.

“Justeru kami memohon kerjasama dan kesabaran daripada semua pihak sepanjang tempoh semakan ini dijalankan. Sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi Perzim,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

124
Kongsi :
Previous post 50,000 pengunjung dijangka ‘berkampung’ di IITTE 2024
Next post Balai bomba baharu di DUN Asahan akan direalisasikan
Ubah saiz-+=