Sorting by

×

PERZIM PROMOSI MAKANAN TRADISIONAL MELAKA KEPADA PELANCONG ASING

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 23 April – Suasana meriah sambutan Aidilfitri terus dirasai apabila Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) mengadakan rumah terbuka Aidilfitri yang menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, jumlah itu termasuk kehadiran ramai pelancong asing yang singgah untuk merasai keunikan juadah tradisional Melayu yang disajikan.

“Rumah terbuka ini mendapat sambutan luar biasa, bukan sahaja dalam kalangan pengunjung sekitar, malah menjadi tumpuan pelancong antarabangsa seperti dari Australia dan New Zealand yang turut sama merasai kemeriahan ini.

“Tahun ini kita tampilkan kelainan dengan menambah pelbagai juadah tradisional, khususnya kuih-muih warisan, selain hidangan utama seperti rendang, lemang dan ketupat.

“Kita mahu pelancong rasa juadah yang mencerminkan budaya dan warisan kita. Ada yang pertama kali menjejakkan kaki ke Melaka dan mereka sangat teruja dengan keramahan rakyat serta keunikan makanan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Sambutan Hari Raya PERZIM dan Melaka World Heritage Office Sdn Bhd yang diadakan di perkarangan Pejabat Pentadbiran PERZIM di Jalan Kota, di sini, hari ini.

6071358533061952369
ERNE mengiringi Zaidi melawat ke gerai makanan tradisi yang disediakan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Timbalan Pengerusi PERZIM Datuk Zaidi Attan; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut Erne berkata sambutan tersebut turut menjadi platform untuk mempromosikan warisan tidak ketara Negeri Melaka.

“Ia termasuk memartabatkan makanan tradisional kepada pelancong asing, sejajar aspirasi Kerajaan Negeri untuk mengangkat budaya tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Sambutan ini bukan sekadar acara perayaan, tetapi turut memperkukuh pelancongan budaya negeri dengan memperkenalkan kekayaan tradisi dan budaya Melaka kepada dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3000
Kongsi :
Previous post ANUGERAH MELAKA MEMBACA DILANCARKAN
Next post 136 TASKA DI MELAKA DIPASANG PLAK TASKA BERDAFTAR