Sorting by

×

PERZIM LESTARIKAN BUSANA TRADISIONAL KLASIK

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDAR HILIR 19 April – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) memperkenalkan busana tradisional terbaharu sebagai inisiatif memartabatkan semula seni, budaya dan warisan Melayu di negeri ini.

Busana tradisional berkenaan akan dipakai oleh petugas muzium di bawah PERZIM pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Pembantu Khidmat Am Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), B.H Ahmad Sabri Epit berkata, selain memartabatkan budaya Melayu di Negeri Bersejarah ini, pengenalan busana baharu itu juga bertujuan menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke muzium-muzium sekitar Melaka.

Katanya, pelancong-pelancong yang datang juga boleh bergambar bersama para pekerja yang lengkap berpakaian busana tradisional itu.

Tambahnya lagi, baju Melayu bermotif kotak dan lengkap dengan aksesori itu antara usaha PERZIM dalam menunjukkan bahawa busana tradisional masih lagi relevan dipakai masyarakat pada zaman kini.

“Memang dahulu kalau kita lihat cerita-cerita lama sebenarnya masyarakat Melayu memakai baju berkotak-kotak. Jadi baju berkotak itu memang gaya lama.

“Maknanya ini antara usaha PERZIM untuk menunjukkan bahawa busana lama ni masih relevan dipakai dan ia juga boleh disifatkan sebagai identiti terbaharu kami,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Muzium Kesultanan Melayu Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Sabri berkata, busana terbaharu itu mempunyai keunikan tersendiri kerana ia melambangkan ciri-ciri lama.

Jelasnya, antara keunikannya adalah pemakaian setanjak di kepala, baju berkotak dengan lengan tiga suku, seluar tiga suku berserta samping dan capal.

“Petugas di kesemua 21 buah muzium akan memakai busana ini dalam usaha untuk terus mempertahankan identiti warisan budaya Melaka,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

483
Kongsi :
Previous post ‘POGHUT’ AYER LIMAU BERAYA SAKAN
Next post TAMBAH BOT PERANTARA, LANCARKAN KEMASUKAN PELANCONG MELALUI KOMPLEKS ICQS