Sorting by

×

PERUNTUKAN TAMBAHAN RM6 JUTA ATASI ISU BANJIR DI 5 DUN – KM

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

LENDU 12 Disember – Peruntukan tambahan sebanyak RM6 juta telah diluluskan bagi mengatasi isu banjir di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata peruntukan tambahan itu telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Menurut Ab Rauf, kesemua penambahbaikan untuk mengatasi isu banjir di lima DUN itu akan diselaraskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka.

“Kita akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengekang banjir berulang di beberapa lokasi ‘hotspot’ di kesemua lima DUN dalam Parlimen Masjid Tanah, di mana peruntukan tambahan RM6 juta ini khusus untuk Parlimen Masjid Tanah sahaja.

“Antara contoh adalah banjir yang kerap berlaku di Taman Masjid Tanah Ria yang mana kita akan selaraskan. Sekarang pun kita akan mulakan projek membina tembok dan Rumah Pam oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Jadi saya mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof kerana meluluskan peruntukan tambahan yang sangat bermakna untuk penduduk di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Sesi Townhall Hotspot Banjir Kawasan Masjid Tanah di Dewan Japerun Lendu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad dan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh serta ketua-ketua jabatan, agensi dan kenamaan lain.

Menurut Ketua Menteri, sesi ‘Townhall’ itu diadakan bagi mengenal pasti permasalahan banjir yang berlaku di dalam lima DUN di bawah Parlimen Masjid Tanah memandangkan setiap lokasi ‘hotspot’ mempunyai isu yang berbeza-beza.

“Justeru, kita amat berharap menerusi peruntukan tambahan ini kita dapat menyelesaikan masalah di setiap lokasi ‘hotspot’,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

104
Kongsi :
Previous post NIKMATI DISKAUN 50 PERATUS SAMAN TRAFIK, 14 DISEMBER INI
Next post DUYONG ‘ROSAK’, LEBIH 15,000 DIJANGKA GEGAU LARIAN BUDAYA ANTARABANGSA DUYONG KITA 2024
Ubah saiz-+=