Sorting by

×

Peruntukan RM3.5 bilion bangunkan semula Melaka Sentral

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

SERI NEGERI 30 Sept. – Melaka Sentral Sdn Bhd (MSSB) bersama Syarikat Goodyield Development Sdn Bhd (GDSB) menandatangani perjanjian usahasama bagi cadangan Projek Pembangunan Semula Melaka Sentral.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, projek melalui Kaedah Usahasama Penswastaan (PFI) itu dianggarkan menelan kos RM3.5 bilion bagi keseluruhan komponen projek.

“Projek ini melibatkan keluasan kasar Terminal sebanyak 743,775 kaki persegi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM372 juta yang akan diserahkan secara ‘in kind’ kepada MSSB dan boleh menempatkan 340 ruang niaga untuk disewakan.

“Secara keseluruhan jumlah manfaat kewangan diterima MSSB apabila siap projek pembangunan semula Melaka Sentral ini dianggarkan RM466 juta.

“Ini tidak termasuk pendapatan tahunan berbentuk ‘recurring income’ (pendapatan berulang) dari perkongsian hasil sewaan dan pengurusan petak letak kereta yang dianggarkan RM1.5 juta hingga RM2 juta setahun,” katanya.

 

SULAIMAN menyaksikan pertukaran dokumen antara Hasnoor (kiri) dan Muhammad Hafidz (kanan) pada perjanjian usahasama tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama untuk Cadangan Projek Pembangunan Semula Melaka Sentral melalui PFI di Antara MSSB dan Syarikat Goodyield Development Sdn Bhd, hari ini.

Sulaiman berkata, cadangan pembangunan itu melibatkan tanah seluas 18 ekar milikan MSSB meliputi lima sektor pembangunan secara berperingkat yang dijangka siap pada tahun 2029.

“Projek ini dijangka mula pada Jun 2022 dengan pembinaan terminal seperti balai ketibaan bas ekspres, balai berlepas bas domestik, satu blok kondominium, menara hotel, 18 unit dewan pawagam dan ruang komersial yang akan siap pada Januari 2024.

“Diikuti sektor kedua melibatkan Terminal Ekspres-Wilayah Selatan, satu blok kondominium, zon hiburan dan ruang komersial yang siap pada Jun 2025.

“Manakala, sektor tiga melibatkan Terminal Ekspres- Wilayah Tengah, dua blok kondominium dan ruangan komersial yang siap pada Disember 2026, sektor empat Terminal Ekspres-Wilayah Utara, satu blok kondominium dan ruang komersial yang diap pada Jun 2028.

“Dan terakhir sektor lima melibatkan Terminal Ekspres- Wilayah Timur, masjid, satu blok kondominium, monorail hub, banquet hall dan ruangan komersial yang dijangka siap pada Disember 2029,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ts. Kamel Mohamed, Pengerusi Lembaga Pengarah MSSB, Datuk Wira Hasnoor Sidang Husin dan Ahli Lembaga Pengarah GDSB, Datuk Muhammad Hafidz Nuruddin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4786
Kongsi :
Previous post Pembukaan pintu sempadan ditentukan selepas negara beralih ke fasa endemik COVID-19
Next post Menteri perlu umum kad laporan pencapaian aspirasi kepada rakyat- Ismail Sabri
Ubah saiz-+=