Sorting by

×

PERUNTUKAN RM2.5 JUTA BUKTI KERAJAAN NEGERI CAKNA TERHADAP MASYARAKAT CINA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KESIDANG 9 Februari – Peruntukan RM2.5 juta daripada Kerajaan Negeri kepada masyarakat Cina di negeri ini disambut baik wakil kaum terbabit.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata meskipun populasi kaum Cina di Melaka kurang daripada 20 peratus namun Kerajaan Negeri tetap menyediakan peruntukan berkenaan.

Allex Seah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang berkata peruntukan tersebut akan digunakan sebaik mungkin dalam membangunkan masyarakat Cina di Melaka.

“Terima kasih Kerajaan Negeri atas peruntukan yang diberikan dan kami (masyarakat Cina) akan gunakan peruntukan tersebut untuk membangunkan ekonomi negeri dan masyarakat.

“Peruntukan yang diberikan membuktikan Kerajaan Negeri tidak meminggirkan mana-mana kaum dan sentiasa prihatin terhadap nasib serta keperluan masyarakat berbilang bangsa di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Malim Food Town, Taman Malim Jaya, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Allex Seah berkata sambutan rumah terbuka untuk setiap kali musim perayaan memberi makna kepada setiap golongan masyarakat yang hadir.

Jelasnya, sambutan seumpama itu menghimpunkan pelbagai kaum dalam satu majlis dan meraikan bersama-sama seterusnya mengeratkan silaturahim.

“Saya percaya, dengan perpaduan dan rasa saling hormat-menghormati memberikan makna dalam memakmurkan Negeri Melaka ini secara amnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

147
Kongsi :
Previous post LEBIH 15,000 GAMATKAN RUMAH TERBUKA TAHUN BAHARU CINA MELAKA
Next post PERUNTUKAN LEBIH RM7 JUTA BANTU ASNAF FAKIR , MISKIN SAMBUT RAMADAN