Sorting by

×

PERUNTUKAN ‘RAKYAT DIGITAL’ MELAKA MENINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SERI NEGERI 31 Disember – Usaha merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat seluruh negeri menjadi antara fokus yang diterjemahkan dalam pembentangan Bajet 2025 Negeri Melaka.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, perkara itu dapat dilihat apabila beberapa peruntukan diberikan untuk mewujudkan sistem digital baharu, selain memberi penekanan terhadap aspek Kecerdasan Buatan (AI).

Namun, secara peribadi, beliau berterima kasih apabila Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bukan sahaja meneruskan program Rakyat Digital, bahkan menambah peruntukan program tersebut untuk tahun 2025.

“Pada 2024, program ini memperuntukkan RM100,000 sahaja dan pada 2025 peruntukan itu meningkat menjadi RM300,000 dan ini menjadi antara berita gembira kepada rakyat.

“Insya-Allah, saya bersama pasukan akan memanfaatkan peruntukan tersebut sebaik mungkin untuk memastikan jurang digital antara rakyat dapat dirapatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Pada pembentangan Bajet 2025 Negeri Melaka bertemakan ‘Memangkin Pembangunan Terancang, Membina Masa Depan Gemilang’ pada 27 Disember lalu, Ketua Menteri turut mengumumkan peruntukan RM3.1 juta bagi merealisasikan Pelan Smart City, termasuklah membangunkan Sistem e-Dewan dan Sistem Pangkalan Data Berpusat Badan Kawal Selia Air (BKSA).

Selain itu, RM500,000 turut diperuntukkan bagi menaik taraf portal rasmi Kerajaan Negeri Melaka dan Tourism Melaka dengan kemudahan chatbot AI, selain RM1.4 juta pula bagi memperluas Wi-Fi percuma Negeri Melaka dan menaik taraf pusat data.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

129
Kongsi :
Previous post APLIKASI SMART HERITAGE TOURISM, ‘PUSAT SEHENTI PELANCONGAN’ DI HUJUNG JARI
Next post ‘HIDUP NI KERAS BEB’, KATA KETUA MENTERI KEPADA KETUA PEMBANGKANG
Ubah saiz-+=