
PERUNTUKAN LEBIH RM95,000 BAIK PULIH LIMA RUMAH USANG
PENGKALAN BATU 21 Februari – Lembaga Perumahan Melaka (LPM) telah memperuntukkan sejumlah RM95,800 bagi membaik pulih lima rumah usang penduduk menerusi Program Melaka Rumahku (PMR).
Projek membaik pulih itu dilaksanakan menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LPM dengan peruntukan Kerajaan Negeri dibawah PMR untuk membantu rakyat memiliki kediaman lebih selesa dan selamat.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata sehingga kini sebanyak lima rumah telah dibaik pulih oleh LPM yang mana projek melibatkan peruntukan RM20,000.
“Kali ini LPM melaksanakan CSR untuk dua rumah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
“Program ini bermula lebih kurang dua minggu lalu dan kedua-dua rumah telah hampir siap, sebelum ini kediaman penduduk mengalami kerosakan pada bumbung dan sebagainya.
“Kita harap menerusi insiatif ini pemilik kediaman terbabit dapat meneruskan kehidupan dalam keadaan lebih selesa dan tenang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyerahan Simbolik Bagi Program CSR Baik Pulih Rumah PMR DUN Pengkalan Batu di Kampung Pasir Puteh Bachang di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin dan Pengarah Eksekutif LPM, Mohd Salleh Hamidom.
Mengulas lanjut Rais berkata Kerajaan Negeri sentiasa terbuka menerima mana-mana permohonan membaik pulih rumah usang penduduk memerlukan di negeri ini.
“Penduduk hanya perlu laporkan kepada Japerun di kawasan mereka ataupun boleh terus kepada pihak LPM, tetapi perlu mendapatkan sokongan daripada pemimpin kawasan, insya-Allah kita akan bantu sebaik mungkin.
“Ini antara program terbaik untuk rakyat Melaka kerana kita tahu penduduk kadang-kadang mempunyai kesukaran untuk membaiki rumah mereka, tetapi di bawah LPM kita memang ada peruntukkan sejumlah RM1 juta setiap tahun,” katanya.
Untuk rekod sebelum ini di bawah program yang sama sebanyak tiga buah rumah dalam DUN Kuala Linggi telah dibaik pulih melibatkan kos sejumlah RM55,800.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.