![Img 20250209 160912 950](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG_20250209_160912_950.jpg?v=1739088935)
PERUNTUKAN LEBIH RM7 JUTA BANTU ASNAF FAKIR , MISKIN SAMBUT RAMADAN
AYER MOLEK 9 Februari – Sebanyak RM7.52 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi meringankan beban asnaf fakir dan asnaf miskin melakukan persiapan menyambut Ramadan tidak lama lagi.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, peruntukan itu disalurkan MAIM menerusi pengagihan Bantuan Persediaan Ramadan (Zakat Fitrah) dan pengagihan fidyah tahun ini.
“Menerusi bantuan ini setiap ketua isi rumah asnaf fakir akan menerima RM400 manakala RM250 pula bagi asnaf miskin. Selain itu setiap isi rumah bagi kedua-dua kategori ini akan menerima tambahan bantuan RM100 setiap seorang.
“Terima kasih kepada pihak MAIM kerana meneruskan inisiatif yang bukan sahaja meringankan beban, sebaliknya membantu asnaf menyambut Ramadan dengan perasaan lebih ceria dan bersemangat untuk melaksanakan ibadat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengagihan Bantuan Persediaan Ramadan (Zakat Fitrah) dan Pengagihan Wang Fidyah Kepada Asnaf Fakir & Miskin MAIM Melaka 2025 di Japerun Ayer Molek di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad dan Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata MAIM membantu lapan golongan asnaf di negeri ini pada setiap tahun dengan peruntukan sebanyak RM140 juta.
“Dana ini adalah hasil daripada pembayar-pembayar zakat dan sumbangan lain seperti fidyah termasuk MAIM sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.