Peruntukan lebih RM600,000 biayai keperluan masyarakat Orang Asli – Idris
SERI NEGERI 21 Sept. – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Melaka memperuntukkan RM611,999 bagi membiayai aspek keperluan hal ehwal masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar Datuk Seri Utama Ir. Idris Haron berkata, peruntukan itu sekali gus menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli meliputi pembangunan, kehidupan, sosio-ekonomi, pendidikan dan taraf hidup.
“Agihan peruntukan ini meliputi projek ekonomi berjumlah RM98,782, bantuan bimbingan usahawan (RM33,800), projek infrastruktur (RM404,621) dan bantuan pendidikan (RM74,796).
“Peruntukan ini tidak termasuk bantuan khas bakul makanan kepada 614 Ketua Isi Rumah (KIR) masyarakat Orang Asli di 14 kampung yang diselesaikan dalam dua fasa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Peruntukan diluluskan bagi kedua-dua fasa ini adalah melibatkan sejumlah RM215,575.40,” katanya pada sesi pertanyaaan lisan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka yang Ke-14 hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Ginie Lim Siew Lin (PKR-Machap Jaya) mengenai status terkini penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Orang Asli (J.P.K.K.O.A) yang menggabungkan tujuh perkampung Orang Asli dan jumlah peruntukan yang diluluskan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.