Sorting by

×

PERUNTUKAN LEBIH RM400,000 PERKUKUH INSTITUSI KEAGAMAAN

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER MOLEK 20 Mac – Sejumlah RM401,250 diperuntukkan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi membantu memperkemaskan lagi pengurusan masjid dan surau di Parlimen Hang Tuah Jaya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu termasuk menyantuni golongan yang berkhidmat dalam institusi keagamaan.

“Sumbangan disalurkan adalah untuk program Ihya’ Ramadan, pembayaran utiliti 25 buah masjid dan 108 surau kariah serta bantuan ‘one-off’ kepada ahli jawatankuasa masjid, pengurus jenazah wanita dan penggali kubur.

“Selain itu imam, bilal dan noja turut menerima sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM500 setiap seorang, melibatkan jumlah keseluruhan RM50,000 di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan. Bantuan ini akan dikreditkan terus ke akaun penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Bantuan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri Melaka Parlimen Hang Tuah Jaya di Masjid Safinah An-Najah, Tambak Paya di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee dan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat.

Ab Rauf berkata inisiatif ini adalah usaha berterusan bagi memastikan kebajikan rakyat, khususnya mereka yang berperanan dalam institusi masjid dan surau terus terbela.

“Rasa tanggungjawab saya kepada kebajikan rakyat di bumi bertuah ini tidak pernah berbelah bagi, malah menjadi agenda utama Kerajaan Negeri untuk kekal komited menyantuni keperluan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post KONDA KONDI CENDERAMATA BUAT TETAMU WTD 2025, WTC 2025
Next post 16.5 JUTA PELANCONG DIJANGKA MELAWAT MELAKA SEPANJANG 2025