Sorting by

×

PERUNTUKAN LEBIH RM11 JUTA PASANG LAMPU JALAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

SERI NEGERI 29 April – Lebih RM11 juta dibelanjakan bagi tempoh dua tahun (2024-2025) untuk pemasangan lampu jalan di seluruh negeri termasuk di kawasan luar bandar dan jalan persekutuan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata peruntukan itu melibatkan dana daripada beberapa agensi dan kementerian termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kerja Raya (KKR) serta peruntukan Kerajaan Negeri sendiri.

“Pada tahun 2024 dan 2025 JKR Melaka telah menerima peruntukan masing-masing sebanyak RM2.41 juta dan RM3.5 juta untuk pemasangan lampu jalan di seluruh negeri termasuk beberapa jalan kampung.

“KPKT turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM261,000 pada tahun 2024 khusus bagi pemasangan lampu jalan di kampung baharu di beberapa kawasan seperti Merlimau (enam unit), Asahan (lapan unit), Rim (lapan unit) dan Taboh Naning (lapan unit).

“Sementara itu, peruntukan daripada KKR pula berjumlah RM1.3 juta pada 2024 dan RM3 juta pada 2025 yang akan digunakan untuk pemasangan lampu jalan di laluan persekutuan. Antara lokasi terlibat pada 2024 ialah Bemban (29 unit), Sungai Udang (18 unit), Durian Tunggal (18 unit), Ayer Limau (37 unit), Lendu (10 unit) dan Pantai Kundor (10 unit).

“Bagi tahun 2025 projek lampu jalan akan diteruskan di kawasan Sungai Udang (54 unit), Ayer Limau (20 unit), Lendu (tujuh unit), Paya Rumput (18 unit), Rim (10 unit), Machap Jaya (lima unit), Merlimau (19 unit) dan Sungai Rambai (95 unit),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Tuminah Kadi@ Mohd Hashim (BN- Pantai Kundor) mengenai permohonan berkenaan lampu isyarat di setiap kampung pada Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Persidangan Seri Negeri di sini, hari ini.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan dana berjumlah RM852,158 pada tahun 2024 dan sebanyak RM500,000 pada 2025 bagi pemasangan lampu di jalan-jalan negeri di Melaka.

“Pada 2024 sejumlah 69 unit lampu dipasang melibatkan kawasan seperti Rim, Asahan, Kesidang, Pantai Kundor, Tanjung Bidara, Machap Jaya, Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal dan Ayer Keroh.

“Untuk tahun 2025 pula sebanyak 50 unit lampu akan dipasang di beberapa kawasan termasuk Rim, Asahan, Machap Jaya, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kuala Linggi, Gadek, Bemban dan Ayer Limau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

301
Kongsi :
Previous post PULAU KONET JADI SEBAHAGIAN KORIDOR TENAGA NEGERI MELAKA
Next post TUGU KEDAULATAN NEGARA ADA DI PULAU KONET