
PERUBAHAN ARAH ANGIN PUNCA PAYUNG TERJUN TERSASAR
TANJUNG BIDARA 17 Februari – Perubahan arah angin ketika menghampiri zon pendaratan mengakibatkan seorang penerjun anggota 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) (Para) terkeluar daripada garis pendaratan ditetapkan.
Kejadian itu dirakam menerusi video tular berdurasi 25 saat di aplikasi media sosial memaparkan penerjun berkenaan mendarat mengenai orang awam yang menunggang motosikal berhampiran sebuah surau di kawasan Tanjung Bidara.
Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM), kemalangan itu melibatkan anggota tentera 18 RAMD Para ketika melakukan Latihan Penerjunan Bebas Eksesais Eagle Swift Siri 1/2025 di Zon Pendaratan (ZG) Airstrip, Kem Terendak.
Menurut kenyataan itu, ketika menghampiri zon pendaratan, perubahan arah angin menyebabkan anggota terkeluar dari garis pendaratan yang ditetapkan dan terpaksa mendarat di kawasan berhampiran zon terbabit.
“Namun begitu, ketika melakukan pendaratan anggota secara tidak sengaja telah melanggar sebuah motosikal yang sedang ditunggang oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.
“Pasukan ‘recovery’ zon pendaratan telah mengambil tindakan pantas dengan memeriksa kedua-dua pihak terlibat dan hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan dialami oleh penunggang motosikal berkenaan.
“Penunggang motosikal itu telah meninggalkan tempat kejadian sebelum sebarang maklumat lanjut kemalangan sempat diambil,” kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan anggota tentera terbabit dihantar ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak bagi pemeriksaan lanjut dan hanya mengalami cedera ringan.
Rakaman kejadian insiden tersebut yang dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian telah menjadi tular di TikTok dan menarik perhatian ramai.
“TDM berharap agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden ini sehingga siasatan selesai,” tambah kenyataan tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.