PERTUNJUKAN UDARA DAN PENERJUNAN ANTARA KELAINAN KUAM 2024

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

BATU BERENDAM 29 Oktober – Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2024 dari 31 Oktober hingga 3 November ini menjanjikan kelainan apabila menawarkan pertunjukan udara membabitkan pesawat dan aksi penerjunan pasukan payung terjun.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penganjuran KUAM 2024 dilanjutkan kepada empat hari berbanding tiga hari pada tahun lalu.

Katanya, keputusan melanjutkan lagi tempoh penganjuran KUAM 2024 membuka ruang kepada pengunjung khususnya generasi muda meneroka teknologi terkini dunia penerbangan selain mengintai peluang pekerjaan ditawarkan industri aeroangkasa termasuk kerjaya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“KUAM bukan sekadar pameran tetapi penuh dengan elemen pendidikan dan pembelajaran selain membuka minda generasi muda mengenai kerjaya dalam sektor yang mencabar ini.

“Bagi penganjuran tahun ini, KUAM bukan sahaja membawakan pelbagai aset udara, pengunjung turut dihidangkan dengan aksi payung terjun oleh 70 penerjun daripada pelbagai agensi keselamatan negara selain pertunjukan udara oleh pesawat mengambil bahagian,” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi KUAM 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BBP) Jabatan Ketua Menteri Melaka, Sa’ari Basiron.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata KUAM 2024 melibatkan 488 peserta dengan pelbagai jenis aset termasuk lapan pesawat badan beruniform; 10 pesawat daripada kelab penerbangan serta empat milik akademi penerbangan.

“Selain itu, terdapat juga pertunjukan 13 paramotor, dua ‘microlight’ dan tiga ‘hang glider’ (luncur angin) serta pameran aset ketenteraan seperti kereta kebal, pengesan bom, motosikal perang dan senjata api.

“Pengunjung juga boleh merasai pengalaman menerbangkan jet pejuang menggunakan simulator yang dibawa khas oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), satu tarikan yang pastinya akan memberi inspirasi kepada generasi muda.

“Bagi memeriahkan lagi karnival ini, KUAM 2024 menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan e-Sport Mobile Legends dan pertandingan drone soccer,” katanya.

Abdul Razak berkata, dengan kelainan dan penambahbaikan berbanding tahun lalu, Kerajaan Negeri mensasarkan lebih 80,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan karnival terbabit tahun ini.

“Karnival ini menerima sambutan hebat pada tahun lepas dengan kehadiran seramai 65,000 pengunjung dan Kerajaan Negeri
menjangkakan lebih daripada 80,000 pengunjung seluruh Malaysia dan luar negara akan hadir, sekali gus memperkukuhkan status Melaka sebagai destinasi pelancongan utama negara.

“Dengan harga tiket yang berpatutan iaitu RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak, KUAM 2024 menawarkan pengalaman yang luar biasa untuk pengunjung menikmati pameran eksklusif, aktiviti interaktif, dan peluang kerjaya dalam bidang penerbangan serta keselamatan negara. katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

353
Kongsi :
Previous post MELAKA TUMPU BIDANG SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
Next post ‘PAPER PLANE’, MELAKA PECAH REKOD PENYERTAAN PALING RAMAI
Ubah saiz-+=