
PERTUMBUHAN EKONOMI MELAKA TERUS POSITIF
BANDARAYA MELAKA 27 Februari – Sektor perkhidmatan dan pembuatan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka sepanjang tahun lalu.
Mengulas mengenai perkembangan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak 51.2 peratus, sementara itu pembuatan pula 36.1 peratus.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, pendapatan per kapita bagi Negeri Melaka pula merekodkan sebanyak RM59,922.
“Pada sudut lain, senario ekonomi negeri ini mesti dijadikan kayu pengukur untuk terus memacu prestasi cemerlang pada tahun 2025. Pada suku keempat 2024 kadar inflasi Negeri Melaka berada pada paras positif iaitu 1.6 peratus berbanding 1.7 peratus bagi kadar nasional.
“Manakala pengangguran di Melaka lebih rendah iaitu 1.8 peratus berbanding 3.4 peratus bagi kadar nasional,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Rumusan dan Perasmian Penutup Konvensyen Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2025 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh serta barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.