Pertingkat kesedaran sivik kekalkan keindahan pantai

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KUALA LINGGI 19 Disember – Rakyat perlu mempertingkatkan kesedaran sivik mengekalkan kebersihan pantai supaya memberi persepsi positif kepada pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, keindahan di Tanjung Bidara hingga ke Kuala Linggi meningkatkan kedatangan pelancong untuk mengunjungi kawasan terbabit.

Justeru katanya, masyarakat setempat perlu memastikan tarikan di kawasan itu terus mendapat perhatian dengan mengambil tanggungjawab dan peranan masing-masing untuk membersihkan kawasan tersebut.

“Kedudukan kawasan ini terletak bersebelahan pantai peranginan di Port Dickson namun disebabkan tumpuannya yang menarik pelancong lebih ramai datang ke Tanjung Bidara sehingga ke Kuala Linggi.

“Kita dapati ramai yang datang ke sini disebabkan keramahan penduduknya yang menyambut pelancong di samping perkhidmatan ‘homestay’ serta ‘chalet’ dan kawasan ini lebih murah dan cantik membuatkan lebih ramai pelancong beriadah di kawasan ini.

“Kita harap dengan pembersihan pantai ini sekali gus akan mengurangkan kes denggi yang berlaku dan menyeru kepada rakyat untuk mempertingkatkan kesedaran sivik dengan mengekalkan kebersihan di kawasan pesisir pantai dari Tanjung Bidara sehinggalah ke Kuala Linggi,” katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah; Pegawai Khas Pejabat Perdana Menteri, Muhammad Fikri Abdul Aziz; Pegawai Daerah Alor Gajah, Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Tpr. Saifuddin Abdul Karim.

Terdahulu, kira-kira 1,500 peserta terdiri daripada penduduk, pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kakitangan MPAG serta pelbagai lagi telah menyertai aktiviti gotong royong berkenaan.

Sebanyak tiga zon kawasan telah dibersihkan membabitkan sepanjang lima kilometer di pesisir pantai kampung itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

646
Kongsi :
Previous post Masjid Tanah lokasi pertama perintis Kampung Digital
Next post Pasar Terapung mula operasi Februari 2024
Ubah saiz-+=