PERTEGUH KESELAMATAN DEMI KEMAKMURAN MELAKA – KM
AYER KEROH 14 Disember – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengambil bahagian dalam Program Latihan Menembak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Kerajaan Negeri Melaka 2024.
Latihan membabitkan kategori ‘center fire’ dan ‘falling plate’ (jatuh piring) menggunakan pistol jenis Walther P99 pada jarak 15 meter berlangsung di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Secara keseluruhan program itu disertai 90 peserta membabitkan pegawai kanan Kerajaan Negeri dan PDRM, wakil Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional BN Negeri Melaka (BISTARI) serta Persatuan Keluarga Polis (Perkep).
Menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, Ketua Menteri berkata program seumpama itu mencipta ruang memperkukuh hubungan erat antara Kerajaan Negeri Melaka dan PDRM.
“Saya percaya program ini dapat mencipta kerjasama strategik, memperteguh keselamatan demi kemakmuran negeri dan keselamatan rakyat secara keseluruhan,” kata Ketua Menteri.
Antara yang hadir pada program itu adalah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz yang juga Pengerusi BISTARI Negeri Melaka dan Pengerusi Perkep Puan Sri Zainah Othman.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Sementara itu antara kepimpinan tertinggi PDRM yang hadir adalah Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.