Sorting by

×

PERTANDINGAN ROBOTIK GILAP MINAT PELAJAR DALAM STEM

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 11 Oktober – Sebanyak lima buah sekolah dari Negeri Melaka menjadi antara 24 pasukan dari zon selatan melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan Petrosains RBTX Challenge 2024.

Empat sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Hutan Percha, SK Malim, SK Rumbia, SK Parit Melana dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Katholik.

Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Selatan, Mohd Zaki Mahat berkata, pusingan kelayakan pertandingan robotik itu telah diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Alor Gajah dan berjaya menarik penyertaan 200 buah sekolah rendah dan menengah dari tiga negeri iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

Menurut beliau, antara sekolah lain dari zon selatan yang melayakkan diri ke peringkat akhir adalah Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Tun Fatimah, Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, SMK Agama Segamat, SMK Seri Medan, SMK Seri Gading, SMK Katholik, SMK Bandar Baru Sri Sendayan, SK Muzaffar Syah dan SK Seremban 2A.

Jelasnya, pertandingan itu mempertandingkan dua kategori utama iaitu Robo Tracer dan Robo Sumo yang mengetengahkan tiga sub-kategori; Green Heroes, Tech Marvels dan Robo Sumo 1kg.

“Pemenang di peringkat perlawanan akhir akan memenangi wang tunai yang berjumlah RM48,000 keseluruhannya manakala juara bagi Robo Sumo 3kg akan berpeluang menyertai pertandingan All Japan Robot Sumo Tournament 2024 di Tokyo, Jepun.

“Setiap pasukan yang bertanding dibenarkan menggunakan perisian pengekodan terbuka (open-source software) dan pelbagai peralatan robotik untuk mencipta projek yang lebih lestari menerusi solusi inovatif dalam menangani isu kritikal seperti pengurangan sisa, penjimatan tenaga, dan perlindungan alam sekitar,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, Petrosains RBTX Challenge yang dianjurkan itu bagi mendedahkan pengalaman kepada peserta dengan kemahiran utama membabitkan reka bentuk, pengekodan dan robotik, di samping mendidik para pelajar mengenai kepesatan kemajuan dalam era digital, seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT).

“Inisiatif ini selaras dengan komitmen PETRONAS dalam pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), di samping menyokong sasaran Revolusi Industri 4.0 (4IR), Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan yang terkini Rukun Daya Cipta di dalam Visi Malaysia MADANI,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

285
Kongsi :
Previous post MPAG LANCAR DUA CIPTAAN INOVASI MUDAHKAN RAKYAT
Next post MELAKA KE ARAH BANDARAYA WARISAN DUNIA CANGGIH, PINTAR MENJELANG 2035
Ubah saiz-+=