Pertandingan Fotografi dan Videografi Menara Taming Sari 2024
BANDA HILIR 17 April – Menara Taming Sari Berhad (MTSB) menganjurkan Pertandingan Fotografi dan Videografi Menara Taming Sari 2024 dibuka kepada orang awam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasrul Ahmad berkata pertandingan dibahagikan kepada kategori fotografi dan videografi yang menawarkan hadiah wang tunai kepada enam pemenang.
Nasrul berkata, bagi kategori fotografi, tempat pertama bakal membawa pulang wang tunai RM250; tempat kedua RM150 dan ketiga RM100.
“Sementara itu untuk Kategori Videografi, tempat pertama ditawarkan RM500; kedua dengan nilai RM300 dan ketiga dengan nilai RM200.
“Tema fotografi dan videografi, peserta hendaklah merakamkan foto secara kreatif dari atas Menara Taming Sari dan hendaklah memaparkan keindahan Bandar Melaka.
“Peserta juga boleh mengambil gambar dan video untuk memperlihatkan keindahan mercu tanda Menara Taming Sari serta kawasan sekitarnya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Nasrul berkata penganjuran pertandingan seumpama itu bertujuan merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Sudah pasti menerusi penganjuran pertandingan ini kita mengalu-alukan peserta tempatan dan luar negeri untuk mengambil bahagian seterusnya dapat memberi tambah nilai kepada MTSB.
“Pertandingan ini bermula dari 16 April hingga 15 Mei, peserta boleh memuat turun borang penyertaan dengan mengimbas kod QR yang disertakan pada poster yang dimuat naik pada hantaran di laman sosial,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.