Sorting by

×

Pertandingan akhir Dondang Sayang Antirasuah berlangsung esok secara hibrid

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 24 Sept. – Pertandingan Akhir Dondang Sayang Antirasuah anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dijalankan secara hibrid pada esok (25 September).

Pengarah JKKN negeri, Ezlina Alias berkata, program itu bertujuan untuk mencungkil bakat setiap lapisan umur sekali gus mendidik masyarakat mengenai bahana rasuah.

Pengarah JKKN negeri, Ezlina Alias.

“Pertandingan yang akan berlangsung secara hibrid ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu kanak-kanak (tujuh hingga 14 tahun), remaja (15 hingga 25 tahun) dan dewasa (26 hingga 40 tahun).

“Program akan dijalankan di Panggung Seri, Kompleks JKKN Melaka, Ayer Keroh dan disiarkan secara langsung melalui Facebook JKKN ‘Fanpage’ dan SPRM Community,” ujarnya.

Jelasnya, JKKN dan SPRM berharap mesej antirasuah dapat disebar secara meluas melalui aktiviti kebudayaan supaya penggiat dan peminat seni dapat menghayati serta mengamalkan nilai-nilai integriti dan menolak aktiviti rasuah.

“Pendekatan ini dilihat dapat menjadikan seni budaya sebagai medium berkesan dalam mendidik masyarakat memerangi gejala rasuah menerusi kesenian Dondang Sayang yang sinonim dengan rakyat Melaka,” katanya.

Tambahnya, JKKN turut mengundang artis jemputan seperti Asmidar Ahmad, The Siblings Band, pemuzik iringan gabungan Institut Warisan Melaka (INSWA) serta tokoh dondang sayang Melaka, Datuk Mohd Baharim Md. Sharif dan Halimah Baba bagi memeriahkan lagi program tersebut.

Terdahulu, Dondang Sayang telah menerima pengiktirafan dari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang dibuat di bawah ‘Convention for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage 2003’ yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada 29 November 2018 di Mauritius.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1495
Kongsi :
Previous post Denda RM100,000 ‘menanti’ kilang degil buang sampah
Next post Kes baharu COVID-19 meningkat ke 14,554 hari ini
Ubah saiz-+=