
PERTAHAN WARISAN KUIH LIDAH BUAYA
PANTAI KUNDOR 1 April – Lambakan pelbagai jenis kuih dan biskut raya moden masih tidak mampu menandingi kehebatan rasa dan tekstur kuih tradisional sejak zaman nenek moyang kita.
Antara kuih tradisi yang masih menjadi rebutan dan igauan ramai adalah kuih lidah buaya atau turut dikenali sebagai kuih tiram.
Kerangupan dan rasa yang lemak manis kuih tradisional itu menyebabkan masih ramai menggemarinya terutamanya setiap kali tiba lebaran.
Pengusaha kuih Lidah Buaya, Rashidah Mohd Nor, 42, berkata, walaupun enak, kuih tersebut tidak ‘renyah’ untuk dihasilkan kerana ia hanya memerlukan beberapa bahan yang mudah.
Dia turut tidak lokek untuk berkongsi resepi turun temurun yang dipelajarinya.
“Nak buat kuih lidah buaya ini tidak susah, seperti resepi saya ia akan menjadikan kuih ini lebih rangup dan enak jika tidak ‘derhaka’ sukatan bahan-bahan yang digunakan.
“Bahan-bahan yang diperlukan adalah satu kilogram (kg) tepung gandum, dua butir telur ayam, satu sudu planta, sesudu kecil garam, sesudu ‘baking powder’ dan sesudu tepung penaik, selain gula untuk salutan.
“Cara-cara nak buat juga tidak susah, hanya perlu mengikut langkah-langkah yang diajar dan perlu berlatih untuk buat, lama-lama jadi mahir dan boleh buat untuk tambah pendapatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Rashidah turut menasihati buat mereka yang baharu mencuba untuk membuat apa sahaja jenis kuih tradisi untuk teruskan semangat sekiranya kuih tersebut tidak berapa menjadi buat pertama kali.
Jelasnya, dia juga pernah gagal dalam percubaan pertama, namun ia sama sekali tidak melemahkan semangatnya untuk terus mengetengahkan kuih tradisional.
“Sebenarnya nak buat kuih tradisi, apa-apa sahaja jenis kuih kena ikut acuan dan pantang maksud pantang di sini jangan terlebih suhu kalau nak goreng, jangan terlebih garam, terlebih atau terkurang sukatan yang sepatutnya mengikut resepi.
“Tak salah jika hendak berinovasi dalam pembuatan kuih tradisi namun ia perlulah seiring dengan kualiti dan rasanya supaya ia tidak lari daripada resepi asal.
“Kaedah membuat kuih juga berlaku perubahan, kalau dahulu pakai dapur arang, lepas itu dah ada dapur gas dan semakin maju ada sejuk beku jadi lebih senang.
“Sekarang ini lebih mudah dan kita harap dengan kemudahan yang ada generasi kini lebih celik dalam mengenali kuih tradisi dan bukan hanya tahu makan sahaja,” kongsinya.
Terdahulu, Rashidah dijemput untuk mengajar warga Pantai Kundor membuat kuih lidah buaya pada Majlis Kacau Dodol Peringkat Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor yang turut dihadiri Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.