Sorting by

×

PERSIMPANGAN BAHARU PAYA LEBAR-KAMPUNG PULAU DIBINA TAHUN DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER LIMAU 10 Oktober – Sebuah persimpangan jalan baharu menghubungkan antara Kampung Paya Lebar sehingga ke Kampung Pulau bakal dibina pada tahun hadapan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, jalan perhubungan melibatkan sepanjang 2.5 kilometer bakal menjadi laluan alternatif sekali gus mampu menguraikan kesesakan lalu lintas di sekitar Masjid Tanah.

Jelasnya, projek yang telah diluluskan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan peruntukan anggaran RM49 juta dan dijangka akan dibina menjelang pertengahan tahun hadapan.

“Satu jalan baharu yang bakal dibina ini bakal menjadi sebuah laluan alternatif kerana ia boleh menghubungkan Tampin, Negeri Sembilan secara terus ke Telok Gong.

“Sebelum ini jarak diambil kira-kira 7 kilometer akan disingkatkan kepada 2.5 kilometer antara Kampung Paya Lebar ke Kampung Pulau.

“Setakat ini projek ini di dalam proses reka bentuk dan insya-Allah akan dilaksanakan pada tahun hadapan bermula selepas notis sebut harga dikeluarkan dan akan mengambil tempoh selama tiga tahun untuk disiapkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Hameed berkata, pada fasa berikutnya projek pembinaan jalan baharu itu akan diteruskan dengan merancang untuk memanjangkan lagi laluan dari Kampung Pulau sehingga ke Telok Gong.

“Permohonan untuk perancangan ini telah diangkat ke peringkat Kementerian supaya ia dipertimbangkan, jadi ia mampu menjadi alternatif baharu buat pelancong dari Negeri Sembilan untuk terus menuju ke destinasi pantai peranginan di sekitar Telok Gong, Pengkalan Balak, Tanjung Bidara dan sekitarnya.

“Malah pembinaan infrastruktur baharu ini bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri kerana kepadatan penduduk dan penambahan kenderaan menjadi antara punca kesesakan di sekitar Masjid Tanah terutama pada waktu puncak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3119
Kongsi :
Previous post HARI PERTAMA SMIX 2024 MERIAH
Next post SMIX 2024 ‘LUBUK’ PERKONGSIAN ILMU
Ubah saiz-+=