Sorting by

×

PERSIDANGAN WARISAN AKAN DIJADIKAN ACARA TAHUNAN

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BANDA HILIR 19 Februari – Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) bercadang menjadikan National Heritage Conference (NHC) sebagai persidangan tahunan sekali gus menjadi pencetus kepada perbincangan berkenaan warisan di Malaysia.

Presiden MIP TPr. Datin Noraida Saludin berkata, penganjuran NHC Tahun 2025 adalah kali pertama diadakan selepas difahamkan hampir 15 tahun program peringkat kebangsaan seumpamanya tidak diadakan.

Katanya, selaras dengan hasrat itu pihaknya akan memperluaskan lagi jalinan kerjasama termasuk dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); Jabatan Warisan Negara dan badan yang berkaitan.

“Kita merancang untuk jadikan NHC ini sebagai acara tahunan selain berharap penganjuran kali pertama ini akan menjadi pencetus memandangkan penganjuran ini amat signifikan.

“Selain Majlis Antarabangsa untuk Monumen dan Tapak Warisan (ICOMOS) Malaysia dan Badan Warisan kita hendak kumpul semua yang ada kepentingan dalam warisan untuk duduk dan bersama-sama mengembeleng tenaga serta idea bukannya berasingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam National Heritage Conference Tahun 2025 Sempena Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP. Shanmugam; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin serta barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Noraida berkata, pemilihan Melaka sebagai ‘ host city’ bagi persidangan ini sejajar dengan peranan Melaka sebagai tuan rumah kepada World Tourism Day dan World Tourism Conference.

“Pemilihan Melaka sebagi venue persidangan juga sejajar dengan pengiktirafan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 17 tahun lalu selain Melaka mempunyai keunikan sendiri termasuklah mempunyai kepentingan dalam konteks sejarah dunia.

“Kita harap selepas ini bandar-bandar seperti Ipoh dan Pulau Pinang boleh bekerjasama dengan MIP bagi penganjuran persidangan akan datang,” katanya.

Katanya, persidangan selama dua hari itu yang dianjurkan dengan kerjasama MBMB adalah antara usaha untuk memartabatkan pemeliharaan dan pengekalan aset warisan negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

128
Kongsi :
Previous post PEMANDU LORI DISYAKI CURI KAYU BAKAU DICEKUP
Next post JANGAN LEPASKAN PELUANG, 13 PRODUK PELANCONGAN PERCUMA DI MELAKA, ESOK