
PERSIAPAN WTD2025 & WTC2025 CAPAI 30 PERATUS
KUALA LUMPUR 18 Februari – Perkembangan persiapan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC2025) bakal berlangsung September ini sudah mencapai 30 peratus.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi melancarkan persediaan awal WTD 2025 dan WTC 2025.
“Kerajaan Negeri bersama MOTAC mengenal pasti kemudahan penginapan seperti hotel selain aspek logistik supaya semua keperluan mencukupi.
“Setakat kini, 30 peratus persediaan tersebut telah berjalan dan kita akan lihat lagi kaedah yang lain bagi permudahkan persiapan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi temubual berkenaan promosi sambutan Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan 20 Februari 2025 di program Malaysia Hari Ini (MHI), di Balai Berita Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) Jalan Riong, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad serta Ketua Pegawai Operasi (COO) Media Prima Omnia, Datuk Mohd Effendi Omar.
Jelas Ketua Menteri, Kerajaan Negeri juga bersiap-siaga bagi memastikan penganjuran WTD2025 dan WTC2025 berjalan dengan lancar serta menampilkan kelainan.
“Kita meneliti semua aspek agar pelaksanaan dua program besar ini mengikut spesifikasi dunia yang diiktiraf Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Jadi saya berharap, menjurus ke arah bulan September ini, Melaka akan jadi hos terbaik dan pelbagai persembahan budaya, seni, akan diketengahkan bagi menarik lebih ramai pengunjung meraikan detik bersejarah itu,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.