Persembahan Zamani Slam di Hotel LaCrista Melaka 1 Mei ini
BANDARAYA MELAKA 16 April – Peminat Zamani Slam bakal berpeluang bertemu dan berbuka puasa bersama penyanyi popular itu yang akan melakukan persembahan di Hotel LaCrista Melaka 1 Mei ini.
Zamani, 50 yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang ketika era 90-an itu berkata, persembahan itu adalah sempena memenuhi undangan program Ihya’ Nurani Kasih Ramadan hotel berkenaan.
“Kebetulan pula Datuk Rosthman Ibrahim (Pengarah Urusan Hotel LaCrista Melaka) adalah rakan sekolah lama saya di Sekolah Teknik Tuanku Ja’afar Seremban.
“Jadi saya rasa ini peluang terbaik untuk kembali ke pentas selepas lebih setahun tidak mempunyai undangan persembahan di hotel akibat pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media di hotel berkenaan semalam.
Menurutnya, pada persembahannnya itu 1 Mei ini, dia akan diiringi dengan kumpulan dikenali The Sibling’s Band yang dianggotai enam adik beradik berasal dari Bukit Katil, Melaka.
“Aktiviti persembahan bermula jam 6 petang dimulakan dengan tazkirah, doa, berbuka puasa, solat Maghrib dan Isyak berjemaah diikuti Tarawih dan moreh sebelum diteruskan dengan persembahan saya yang bakal menyampaikan 12 buah lagu termasuk lagu popular bersama Slam.
“Harga tiket untuk persembahan bermula RM250 seorang selain jualan meja antara RM3,000 hingga RM5,000 yang bakal dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat penganjur,” katanya.
Sementara itu Rosthman berkata, berkata, program Ihya’ Nurani Kasih Ramadan bersama Zamani dan The Sibling’s Band itu diharap dapat merancakkan semula perniagaannya itu selepas terkesan dengan pandemik COVID-19 sejak Mac tahun lalu.
“Persembahan diadakan di dalam suasana SOP yang sangat ketat malah dewan besar kita juga hadkan kepada hanya 210 penonton sahaja.
“Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi 012-611 8595 atau layari laman sesawang www.lacrista.com.my mendapatkan tiket yang terhad ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.