Persembahan pembukaan Panggung Bangsawan tawan hati pengunjung
BANDARAYA MELAKA 26 April – Persembahan sempena pembukaan semula Panggung Bangsawan mendapat reaksi positif daripada pengunjung yang hadir.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati hari pertama ‘preview’ persembahan kebudayaan disajikan oleh artis kebudayaan Briged Seni, pemakan api Fazz Fire Eater dan penyanyi jemputan, Fazli Zainal menerima reaksi amat positif.
Pengunjung, Soon Cheong Neo, 54, berketurunan Baba Nyonya hadir bersama ahli keluarganya bagi menyaksikan persembahan kebudayaan itu.
“Kebetulan memang hari cuti, ahli keluarga saya pula memang peminat seni dan drama tari, tambahan pula melibatkan etnik keturunan kami iaitu Baba Nyonya, memang wajib datang tengok,” katanya.
Nada sama disuarakan seorang lagi pengunjung, Mohd Fahmi Jamil, 24, menyifatkan persembahan kebudayaan yang disaksikan bersama rakan-rakannya adalah menyeronokkan dan menambah ilmu mengenai Melaka.
“Saya berasal dari Muar, Johor, sekarang ini belajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), ini merupakan persembahan kebudayaan yang memaparkan keunikan keseluruhan Melaka.
“Kalau sebelum ini, bila sebut Melaka pasti terbayang asam pedas atau bangunan merah di Banda Hilir, selepas ini saya tahu yang Melaka mempunyai pelbagai etnik yang unik,” katanya.
Manakala, bagi pengunjung Ong Theng Sim, 22, berkata, kemudahan dan kelengkapan panggung berkenaan sebagai amat mantap berikutan itu penggunaannya perlu dimaksimumkan.
“Saya berasal dari Selangor, budaya kami di sana berbeza dengan di Melaka. Negeri ini penuh dengan kebudayaan di mana-mana dan kali ini saya bersama rakan-rakan teruja serta seronok dengan persembahan yang disajikan,” katanya.
Dalam pada itu, pensyarah Politeknik Merlimau Melaka (PMM), Maisarah Mansor, 42, berkata persembahan kebudayaan yang dipaparkan adalah pendedahan kepada pengunjung luar yang tidak tahu mengenai etnik yang terdapat di Melaka.
“Pada saya persembahan ini adalah bagus buat pengunjung dalam dan luar Melaka. Fasiliti yang disediakan buat pengunjung juga selesa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.