Persatuan wartawan perlu lebih agresif latih pengamal media – Annuar
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Institusi kewartawanan termasuk persatuan wartawan perlu memainkan peranan yang lebih agresif untuk membolehkan komuniti pengamal media mendapat latihan dan bimbingan mengenai profesion itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata ia berikutan ilmu kewartawanan tidak boleh bergantung kepada pengajian formal dari institusi pengajian tinggi menerusi latihan akademik semata-mata.
“Kalau wartawan hendak jadi profesional, maka badan wartawan itu sendiri kena membuat latihan dan juga menetapkan garis panduan untuk menjadikannya sebagai satu entiti yang dianggap profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan tajuk HAWANA 2022: Kewartawanan Aspirasi Keluarga Malaysia.
Dalam program itu, Annuar turut menasihatkan persatuan wartawan agar bersatu, fokus serta membina profesion kewartawanan dengan cara yang sepatutnya.
“Kalau persatuan wartawan asyik berpecah, masih suka buka persatuan banyak-banyak yang jaga kebajikan ahli sahaja tidak melihat kepada skop profesion kewartawanan… maka kita akan menjadi berpecah, akan jadi lemah dan mungkin berbalah dan akhirnya kita hilang arah tujuan,” katanya.
Sementara itu, katanya adalah amat penting persatuan wartawan yang ada di negara ini mengadakan lebih banyak program latihan untuk memperkasakan kewibawaan pengamal media.
“Saya nak tengok supaya persatuan wartawan ini bersama-sama, jangan ada terlalu banyak cabang, kalau dah ada pelbagai (persatuan) tidak apa, yang penting duduk bersama dan wujudkan platform untuk semua kongsi visi yang sama,” katanya kepada Bernama selepas program itu.
Tambah Annuar, peranan persatuan memberi latihan melalui program dianjur merupakan satu langkah terbaik bagi meningkatkan profesional wartawan itu sendiri supaya insiden seperti menulis berita bukan berdasarkan fakta, tidak berlaku.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) akan menjadi penggerak utama penganjuran HAWANA 2022, dengan disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan turut melibatkan organisasi, persatuan dan pengamal media lain.
HAWANA 2022 yang bakal berlangsung Ahad ini di Melaka, dianjurkan bagi mengiktiraf peranan golongan wartawan dan pengamal media Malaysia, selain platform kepada pengamal media untuk berkongsi pendapat dan meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan industri media di Malaysia.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.