Sorting by

×

PERSATUAN HOKKIEN SEDIA JADI ‘DUTA’ TARIK PELABUR KE MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 19 Februari – Kesediaan Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia yang berhasrat menjadi duta pembangunan Melaka disambut baik Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kesanggupan persekutuan itu yang diterajui Tan Sri Dato’ Sri Ir. Lim Hock San JP untuk menarik pelabur luar masuk ke Melaka amatlah dihargai memandangkan ia dapat membuka lebih banyak peluang ekonomi di negeri ini.

“Saya amat berterima kasih kepada Tan Sri (Lim Hock San JP) yang telah menyuarakan kesanggupan menjadi duta kepada pelaburan Melaka dengan membawa masuk pelabur-pelabur dari China, terutamanya dari wilayah Fujian yang sudah lama menjalinkan hubungan dengan Negeri Melaka.

“Saya melihat hubungan antara masyarakat Cina melalui Persatuan Hokkien ini telah dapat menjalinkan satu hubungan yang bukan sahaja sesama masyarakat dalam sudut sosial, tetapi juga hubungan ekonomi, perdagangan yang boleh dikembangkan dengan negara-negara luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Makan Tengah Hari bersama Pimpinan Persekutuan-Persatuan Hokkien Malaysia dan Persatuan Hokkien Melaka sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2025, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China Kepada YAB Ketua Menteri Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong dan lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, di bawah kepimpinannya, beliau bertekad untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri contoh dalam negara yang mengamalkan prinsip kesepaduan dan keharmonian.

Jelas beliau, ia terbukti apabila Kerajaan Negeri Melaka yang merangkumi kombinasi beberapa parti politik telah berjaya meluncurkan banyak peluang-peluang ekonomi yang dapat meyakinkan pelabur untuk bertapak di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

122
Kongsi :
Previous post ‘PENYANGAK’ KAYU BAKAU KENA CEKUP, DR. AKMAL BURU ‘JERUNG’
Next post MELAKA MASIH TUNGGU KELULUSAN BAIK PULIH BANGUNAN MERAH