PERSARAAN, PERMULAAN FASA HIDUP BAHARU BEKAS PENJAWAT AWAM
BANDA HILIR 16 Disember – Persaraan adalah satu permulaan kepada fasa kehidupan baharu yang penuh cabaran, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, persaraan bukan satu noktah akhir sebaliknya menjadi titik permulaan kepada lembaran baharu dalam kitaran hidup setiap penjawat awam.
“Dunia persaraan memberi kita peluang untuk meningkatkan lagi penguasaan ilmu pengetahuan. Perjalanan perkhidmatan sehingga ke saat persaraan merupakan satu pengalaman yang sangat bernilai dan pasti akan sentiasa dikenang.
“Segala latihan, pengalaman, kemahiran dan kepakaran diperolehi sepanjang tempoh berkhidmat menjadi aset paling penting serta bernilai untuk terus bergiat aktif selain menggapai lebih banyak kejayaan apabila menempuh dunia persaraan,” katanya pada ketika berucap pada Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri di sebuah hotel, di sini hari ini.
Teks ucapan Ketua Menteri dibacakan oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, yang merasmikan majlis tersebut bagi pihaknya.
Terdahulu pada majlis itu 21 pesara bersama pasangan dan lapan waris gemulah menerima penghargaan daripada Kerajaan Negeri Melaka atas komitmen serta dedikasi diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan.
Beliau berkata, segala pengorbanan, keringat dan kudrat serta khidmat bakti dicurahkan selama ini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung banyak membantu dalam mencorakkan kedudukan Pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Pelbagai cabaran dan rintangan yang telah kita harungi bersama kekal dalam lipatan sejarah Kerajaan Negeri selamanya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.