PERPUSTAM PERGIAT KEMPEN GALAKAN MEMBACA

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDARAYA MELAKA 27 September – Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) menerusi 64 buah rangkaian perpustakaan seluruh Melaka komited mengadakan kempen galakan membaca kepada masyarakat setiap masa.

Pengarah PERPUSTAM, Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris berkata, Pesta Buku Melaka 2024 adalah antara usaha PERPUSTAM merancakkan lagi industri buku negara.

Katanya, menerusi pesta buku yang dianjurkan saban tahun di lokasi yang sama, ia mampu dijadikan platform untuk memasarkan buku-buku secara terbuka dengan harga yang ditawarkan mampu milik oleh semua golongan masyarakat.

“Pesta Buku Melaka merupakan salah satu program utama PERPUSTAM menerusi Program Galakan Membaca di Melaka yang menjadi pemangkin dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan ilmu pengetahuan.

“Pesta Buku Melaka ini juga memudahkan pencinta buku mendapatkan bahan bacaan di mana ia akan memberi manfaat kepada semua golongan khususnya pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Buku Melaka 2024 yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum di sebuah pusat beli belah, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamed Aizammuddy berkata, pelbagai aktiviti menarik telah diatur dan disusun sepanjang berlangsungnya pesta buku itu.

“Antara aktiviti yang dirancang dan diatur seperti pertandingan mewarna, bercerita rakyat, tulisan khat, busana tradisional Malaysia, Kalam Jamai’E, Choral Speaking, nasyid, karaoke, exploria dan pelbagai lagi. Turut diadakan sesi bersama Ustaz Selebriti dan penulis-penulis buku terkenal.

“Selain itu, peserta atau pengunjung Pesta Buku Melaka 2024 turut berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik sepanjang berlangsungnya pesta buku itu,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

74
Kongsi :
Previous post ‘RUMAH IKAN’ BANTU NELAYAN MELAKA
Next post RAKYAT MELAKA TABIK USAHA KETUA MENTERI PERMUDAH URUSAN RAKYAT
Ubah saiz-+=