Perpustakaan Melaka bergerak seiring IR 4.0 untuk kekal relevan
BANDARAYA MELAKA 27 September – Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) akan bergerak seiring dengan perkembangan revolusi industri 4.0 bagi memastikan perpustakaan terus relevan dan mendapat tempat di hati masyarakat.
Pengerusi Perpustam, Rosli Abdullah berkata pengunjung yang hadir ke perpustakaan kerajaan akan menikmati perkhidmatan internet dan jaringan jalur lebar secara percuma.
Katanya, pengunjung juga boleh mengakses menerusi pangkalan data untuk mencari bahan-bahan bacaan secara digital.
“Di Melaka mempunyai 67 rangkaian perpustakaan yang meliputi perpustakaan negeri; empat perpustakaan cawangan; dua perpustakaan komuniti, dua perpustakaan pekan; 26 perpustakaan desa negeri; 28 perpustakaan desa di bawah perpustakaan negara; dua bas bergerak buku dan dua bas perpustakaan Pustaka Digital.
“Perpustam turut membekalkan bahan bacaan di perpustakaan terbuka seperti di Melaka Sentral, masjid-masjid, dan dua perpustakaan di sekolah Henry Gurney dan Tunas Bakti untuk kegunaan penghuni disitu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Pesta Buku Melaka 2022 di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Khaidirah Abu Zahar dan Pengarah Perpustam Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.